Socio-Economy


Pembersihan Bangunan Koperasi Usahawan Kampung Balik Pulau (KUKAM)

Sebelum pembersihan

Semasa pembersihan

Pada 16 Mei 2011, aktiviti pembersihan kawasan bangunan Koperasi Usahawan Kampung Balik Pulau (KUKAM) yang terletak di Kampung Perlis, Balik Pulau yang melibatkan pembantu-pembantu pelajar dan pegawai penyelidik dari kluster Komuniti & Biodiversiti, kluster Meningkatkan Sosio-Ekonomi dan Kerentanan dan Adaptasi Masyarakat tentang Bencana Banjir. Stor dan bilik-bilik di bangunan ini telah dikemas dan dicuci. Peralatan-peralatan juga telah disusun dengan rapi. Antara aktiviti yang akan dijalankan di bangunan KUKAM adalah pembenihan tisu kultur anak-anak pisang, penghasilan tepung pisang daripada buah pisang, pembuatan kertas pisang daripada batang pisang dan pembuatan kraf tangan yang bermutu serta menarik. Pembersihan ini bertujuan untuk memastikan projek “Revitalisation of Going Banana” dapat beroperasi semula.

Salah satu gambar mesin yang digunakan dalam proses pembuatan kertas pisang



Kursus Kemahiran Menghasilkan Tepung Pisang

Kursus kemahiran membuat tepung pisang pula, memerlukan 20 orang peserta dan kesemua peserta akan diajar dalam tiga hari sahaja. Kursus ini juga akan diadakan di USM memandangkan segala keperluan dan infrastruktur ada di USM. Kusus ini akan diajar oleh Prof. Madya Noor Aziah binti Abdul Aziz.

Peserta yang dipilih untuk menyertai kursus ini terdiri daripada golongan surirumah yang tidak bekerja, penggangur dan pesara. Mereka dipilih agar mereka dapat memanfaatkan ilmu dari kursus ini dan dapat menjana pendapatan melaui bekerja sebagai krew penghasilan tepung pisang di bangunan KUKAM.

Objektif bahagian ini ialah:
  1. Mengadakan pemindahan ilmu oleh penyelidik USM kepada orang kampung yang berpendapatan rendah.
  2. Membantu membuka peluang kepada orang kampung berpendapatan rendah untuk menambahkan pendapatan bagi menyara keluarga.
Prof. Madya Dr Noor Aziah Abdul Aziz memberi penerangan kepada orang kampung

Orang kampung mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diberikan oleh penyelidik USM



Pameran Tepung Pisang

Tepung pisang merupakan sesuatu produk yang masih baru dan perlu diketengahkan bagi menarik perhatian orang ramai akan khasiat yang bakal diperolehi melalui pengambilan dan penggunaan tepung pisang ini. Tepung pisang yang dihasilkan terdiri dari tiga jenis iaitu tepung batang pisang, tepung kulit pisang dan tepung buah pisang matang. Tepung batang pisang sesuai untuk digunakan dalam industri pembuatan papan lapis kerana ia dapat bertindak sebagai ‘glue laminated’ bagi menguatkan strutur papan lapis. Tepung kulit pisang pula, berfungsi unyuk menyerap sisa minyak di sungai atau laut. Manakala, tepung buah pisang boleh digunakan secara meluas dalam industri makanan.

Pelbagai pameran bagi mempromosikan dan menggalakan penggunaan tepung pisang telah disertai. Antara pameran yang disertai adalah pameran sempena lawatan wakil dari University Of West Sydney di Balik Pulau, pameran sempena Eco Film Festival di Universiti Malaya dan pameran sempena Majlis Pelancaran Projek Kelestarian APEX. Selain itu, kami turut membuat pembentangan serta demonstrasi tindakbalas tepung kulit pisang bertindak sebagai anti pencemar, menyerap tumpahan minyak kepada pegawai Jabatan Perairan Sungan (JPS), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan juga kepada Malaysian Industries Government for High Technology (MIGHT) di Putrajaya.

Objektif bahagian ini ialah:
  1. Memperkenalkan projek penghasilan tepung pisang kepada umum.
  2. Mempromosikan tepung pisang yang dihasilkan.
  3. Mendapatkan pasaran bagi tepung pisang yang dihasilkan samada untuk industri makanan atau industri teknologi persekitaran.
Lawatan dari University of West Sydney

Pameran sempena Eco Film Festival di Universiti Malaya

Pameran sempena Majis Pelancaran Kelestarian APEX



Penghasilan Tepung Pisang Dimulakan

Sidratul Corporation telah bersetuju untuk membeli tepung pisang dari jenis baka pisang emas, pisang nangka dan pisang abu untuk dijadikan sebagai bahan utam dalam penghasilan produk makanan bayi. Penghasilan tepung pisang secara rasminya telah dimulakan pada 12 Disember 2011 dan seramai lapan orang penduduk kampung telah dilantik sebagai staf penghasilan. Mereka telah dibahagikan kepada dua kumpulan dimana kumpulan pertama bertugas pada setiap Isnin dan Selasa manakala kumpulan kedua bertugas pada setiap Rabu dan Khamis. Pemasaran yang berkesan telah menarik minat syarikat Sidratul Corporation untuk membeli tepung pisang sebagai bahan asas bagi produk makanan bayi syarikat tersebut.

Objektif bahagian ini ialah:
  1. Memulakan penghasilan tepung pisang bagi menghasilkan sampel-sampel untuk dihantar kepada industri makanan sebagai tujuan pemasaran.
  2. Menghasilkan sampel-sampel tepung pisang untuk produk makanan bayi yang telah dipesan oleh Sidratul Corporation.
  3. Menilai keperluan yang sedia ada dalam penghasilan tepung pisang untuk tujuan penambahbaikan.


Lawatan dari Industri

Pada Oktober 2011, satu lawatan dari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Perairan Sungai (JPS) dan Penang Institute yang dahulunya dikenali sebagai Social Economic Research Institute (SERI) telah mengadakan lawatan bagi melihat demonstrasi tindakan penyerapan minyak menggunakan tepung kulit pisang. Memandangkan tepung kulit pisang mampu bertindak sebagai anti-pencemar, pelbagai cadangan penambahbaikan telah diberikan oleh wakil jabatan-jabatan kerajaan dan NGO ini terutamanya dari segi cara menggunakan tepung kulit pisang untuk membersihkan sungai dan longkang yang tercemar.

Pada 14 Disember 2011, Pengarah Urusan Sidratul Corporation iaitu Ustaz Ahmad Tajuddin Arshad telah melawat lokasi penghasilan tepung pisang. Beliau telah memberi pandangan untuk memasang penyuling air dan pembahagi stesen penghasilan. Tujuan pemasangan penyuling air adalah untuk membasuh dan merebus pisang mentah manakala pemasangan pembahagi stesen adalah bagi mengasingkan stesen bahan kering dengan stesen bahan basah serta mengelak berlakunya pertembungan bahagian atau cross section antara stesen-stesen.  Setelah disurvei, bajet yang diperlukan untuk memasang penyuling air yang mampu menampung kapasiti 80 liter sehari adalah sebanyak RM9,500 manakala harga bagi pemasangan pembahagi stesen penghasilan adalah sebanyak RM18,300. Oleh itu, keseluruhan bajet yang diperlukan ialah RM27,800. Hasil dapatan daripada aktiviti ini adalah  projek ini mendapat cadangan penambahbaikan yang sangat bagus kerana cadangan yang diberikan adalah daripada seseorang yang sangat berpengelaman dalam sektor industri dan perkilangan produk organik. Sekiranya penambahbaikan ini dilakukan, stesen penghasilan tepung pisang ini akan menjadi sebuah kilang yang menepati spesifikasi industri perkilangan.

Objektif bahagian ini ialah:
  1. Mendapatkan maklumbalas dari industri mengenai lokasi, mesin-mesin dan infrastruktur yang sedia ada untuk penghasilan tepung pisang.
  2. Menjalankan penambahbaikan agar lokasi penghasilan tepung pisang dapat menepati piawaian industri perkilangan.
  3. Memastikan tepung pisang yang dihasilkan menepati tahap kualiti yang diperlukan.


Majlis Pelancaran Produk Kantan dan Pisang

Pada 15 Januari 2012, Majlis Pelancaran Produk Kantan & Pisang telah diadakan di Dewan Qariah Kampung Permatang Pasir, Balik Bulau. Sempenan majlis ini, MoA antara USM, Sidratul Corporation dan Koperasi Kantan Balik Pulau Berhad telah ditandatangani. MoA ini bertujuan untuk mewujudkan koloborasi dan hala tuju melalui pemindahan ilmu dan aplikasi kemahiran. Koloborasi dengan Sidratul Corporation dalam pemindahan ilmu dapat membantu orang kampung untuk menambah ilmu dan kemahiran agar mereka dapat memanfaatkannya dengan menjana pendapatan bagi meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

Objektif bahagian ini ialah:
  1. Mendapatkan kerjasama industri dalam melakukan pemindahan ilmu kepada orang kampung.
  2. Menggabungkan universiti dan industri dalam memajukan orang kampung terutamanya dalam membantu membangunkan ekonomi orang kampung.
Produk-produk kesihatan dan kecantikan yang dihasilkan dari kantan



Transformasi Projek sebagai Kampung Lestari (ESD)

Seramai 92 orang pelajar yang mendaftar subjek SBU304e telah menjalani kajian-kajian lapangan dengan mengadaptasi projek-projek di bawah kluster-kluster projek ‘Showcasing Balik Pulau As a Sustainable Village’. Seramai 32 orang pelajar telah memilih projek di bawah kluster Komuniti dan Biodiversiti, 32 orang pelajar memilih projek di bawah kluster Sosio-budaya dan 28 orang pelajar telah memilih projek di bawah kluster Pemerkasaan Sisio-ekonomi. Pelajar telah diberi kefahaman mengenai projek-projek yang mereka pilih dan membawa mereka ke lokasi kajian untuk diadaptasi.

Pelajar berjaya memahami objektif projek-projek yang dijalankan. Pelajar telah berjaya memahami bagaimana caranya untuk mengaplikasikan pendidikan pembangunan lestari (ESD) dari projek-projek kelestarian yang dijalankan di Balik Pulau. Pelajar lebih mudah memahami erti pembangunan lestari melalui amali kerja lapangan yang mereka jalani.

Objektif bahagian ini ialah:
  1. Menjadikan projek kelestarian di Balik Pulau sebagai satu platform kerja lapangan melalui transformasi projek sebagai kampung lestari (ESD).
  2. Menggarabkan aspek-aspek kelestarian yang diamalkan dalam kehidupan seharian yang diterapkan di Balik Pulau melalui projek ini kepada para pelajar.
  3. Mengasah kekreatifan para pelajar untuk mencipta sesuatu yang berasaskan kelestarian agar mereka dapat menjadi pemacu agar seluruh masyarakat dapat mengamalkan kelestarian dalam kehidupan seharian.
Pembungkusan tepung pisang yang lestari yang direka oleh para pelajar SBU304e. Para pelajar telah memahami bahawa para peniaga juga perlu mengamalkan kelestarian dalam penghasilan produk-produk mereka agar ianya tidak memberi impak kepada alam sekitar dan kesihatan pengguna.